Wednesday, September 26, 2007

Kisah Pembunuhan Nurul Huda


Selain keluarga Noor Suzaily, tragedi yang menimpa Nurin jazlin turut mengembalikan memori pahit bagi Abdul Gani Juni, 54. Bapa kepada Nurul Huda Abdul Ghani, murid tahun empat Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku, Gelang Patah yang dirogol dan dibunuh dengan kejam di pondok pengawal Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor Bahru pada 17 Januari 2004 itu turut berduka cita dengan kematian Nurin Jazlin.

“Saya bersimpati kepada keluarga Nurin Jazlin. Bukannya mudah bagi seorang bapa untuk kehilangan anaknya. Ia adalah perkara besar. Seperti saya sekarang, saya terpaksa bergantung kepada ubat penenang untuk meneruskan kehidupan," katanya. Abdul Gani, mendakwa sehingga kini dadanya mudah berdebar apabila berlaku sesuatu perkara yang mengejutkannya.

Beliau berkata, mengikuti kejadian pembunuhan kejam Nurin yang seakan-akan yang menimpa anaknya, Nurul Huda, 10, menyebabkannya turut berasa sebak kerana mengingatkannya kepada anak bongsu daripada 10 beradik itu. "Ia adalah satu pengalaman dan ujian besar daripada Allah. Walaupun berlaku lebih tiga tahun lalu, saya masih terasa Nurul Huda seolah-olah masih ada. Ia masih belum hilang dalam ingatan saya.

"Bahkan sampai sekarang, saya masih membiarkan gambar Nurul Huda terpasang dan tidak sampai hati nak menurunkan gambar berkenaan. Kadang-kadang saya akan bercakap sendiri kepada gambarnya seolah-olah Nurul Huda masih lagi ada," katanya sambil menitiskan air mata.

Abdul Gani berkata, beliau kini tidak mampu membaca berita mengenai pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak seperti Nurin Jazlin secara mendalam sekali gus kerana ia akan mengingatkannya kepada Nurul Huda.

Beliau berkata, selepas membeli akhbar, laporan kes Nurin itu akan dibaca sekali imbas untuk mengetahui berita mengenainya sebelum membacanya semula pada waktu lapang lain. "Bagi saya, orang yang bertanggungjawab membunuh Nurin adalah orang yang lupa kepada kebesaran Allah dan orang yang zalim antara yang paling zalim," katanya yang menasihatkan Jazimin Abdul Jalil, 33, supaya bersabar dan menganggapnya sebagai ujian Allah.

No comments: